RAWATAN AL - FATIHAH
Al-Quran bukan hanya sebuah kitab yang menjelaskan tatacara kehidupan
yang sempurna bahkan ianya merupakan kitab suci yang menyajikan resepi
perubatan yang menakjubkan.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia menjelaskan
adanya satu kumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. yang keluar pergi
musafir. Di tengah perjalanan mereka telah singgah di sebuah
perkampungan Badwi. Mereka telah meminta makanan, tetapi penduduk
kampung tersebut enggan memberinya.
Dengan takdir Allah s.w.t., tidak lama setelah itu, ketua kampung
berkenaan telah disengat binatang. Mereka telah berusaha untuk
mengubatinya tetapi gagal. Sesetengah daripada mereka mencadangkan agar
mereka meminta pertolongan daripada kumpulan orang Islam yang singgah di
kampung tadi. Mungkin mereka boleh membuat sesuatu untuk merawat.
Mendengarkan harapan yang begitu tinggi terhadap mereka, sebahagian
daripada orang Islam tadi memberitahu bahawa mereka boleh menolongnya,
tetapi oleh kerana penduduk tersebut pernah menolak permintaan mereka
sebelum itu, mereka tidak akan menolongnya kecuali setelah berjanji
memberi upah.
Rombongan itu bersetuju atas permintaan tadi untuk memberi beberapa
ekor kambing. Orang Islam yang berkenaan datang menemui ketua kaum yang
sedang sakit, lalu dihembusnya dengan air ludah pada tempat yang sakit
tadi sambil membaca: "AlhamdulilLah". Dalam satu riwayat lain disebutkan
bahawa doa yang dibaca ialah Surah al-Fatihah lalu perawat tadi
mengumpulkan air ludahnya dan dihembuskan, menyebabkan pesakit beransur
sembuh. Dalam satu riwayat lain, dijelaskan bahawa upah yang diberi
ialah tiga puluh ekor kambing.
Keterangan hadis ini memperlihatkan bahawa Surah al-Fatihah itu amat
besar fadhilatnya, di antaranya ialah untuk merawat pesakit akibat
terkena racun, seperti disengat kala jengking, lipan dan sebagainya.
Dijelaskan juga dalam keterangan hadis ini bahawa perawat, dengan
izin Allah berjaya melakukan rawatan dengan membaca Ummu al-Qur'an
(Surah al-Fatihah). Kalau difikiri dari segi logiknya, terlalu sukar
untuk menerima hakikat, bahawa pesakit boleh sembuh hanya dengan bacaan
Surah al-Fatihah dan sedikit hembusan air ludah.
Setiap orang Islam boleh dikatakan tahu membaca Surah al-Fatihah,
tetapi untuk meyakinkan bahawa bacaan yang dituturkan membolehkan
seorang pesakit, seperti sakit terkena gigit kala jenking ataupun lipan
boleh sembuh, sering dirasakan seupama sesuatu yang sukar diterima.
Malah kita sendiri mungkin tidak yakin bahawa usaha seperti ini boleh
berjaya. Tetapi, kesembuhan seperti ini bukan sesuatu yang mustahil,
kerana Allah s.w.t. itu maha berkuasa, tidak digagahi oleh sesuatu,
apabila Ia menghendaki sesuatu, Ia berkata: "jadilah maka jadilah”.
[Surah Yasin: 82].
No comments:
Post a Comment